Monday, October 27, 2008

Panglima Harimau Berantai

Baru-baru ini saya terbaca kisah salah seorang artis ( seniman) tempatan yang terkenal ditahun-tahun 60an dan awal 70an iaitu Allahyarham Ed Osmera ( 1942 - 2005). Pada zaman tersebut, kalau ada wayang lakonan beliau seperti Panglima Harimau Berantai atau Panca Indera Harimau Berantai, pasti saya akan menontonnya. Kadang-kadang, kalau tak cukup wang, saya dan kawan-kawan akan mencari botol untuk di jual. Wang ini kami akan gunakan untuk menonton wayang. Kadang-kadang saya kejabat pos untuk mengeluarkan wang simpanan saya sebanyak RM1, jumlah minima yang dibenar untuk dikeluarkan semata-mata untuk menonton wayang.Pada zaman tersebut, pejabat pos berfungsi seperti Bank Simpanan Nasional hari ini.

Pada masa itu bapak saya bertugas di Kuala Kerai, Kelantan. Panggung wayang ( pawagam ) pula terletak berdekatan dengan stesen keretapi. Masa tu keretapi kebanyakannya masih menggunakan arang batu. Harga tiket untuk kelas ke3 ialah 40 sen sahaja. Kerusi kelas ke3 berada kira-kira 7 atau 8 depa dari skrin wayang. Kalau nasib tak baik, dapat kerusi disebelah paling kiri atau kanan, jadi kena tengok wayang yang menyengetlah nampaknya.

Apa yang ingin saya perkatakan disini ialah mengenai satu seni silat 'ghaib' atau silat 'menurun'. Silat ini pernah saya mengikutinya ketika saya ditingkatan 5. Waktu itu saya tinggal disekolah berasrama di Perak. Pada malam Selasa dan malam Jumaat adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu. Pada malam-malam begini, saya dan kawan-kawan akan membuka gelanggang pada jam 12.00 tengah malam keatas. Dengan berbekalkan sedikit kemiyan, bara , mangkok bara dan keris kami akan kegelanggang. Saya pula adalah ketua gelanggang.

Dengan berpakaian silat yang serba hitam, kami akan berdiri dibelakang seorang 'jinjang'. Dia akan menyeru nama seorang panglima , ( seperti Hang Jebat, Hang Tuah, Harimau Berantai, Sang Adi Putra dll. ) dengan membaca beberapa isim yang tertentu dan seterusnya akan 'menurun'. Jinjang ini akan bersuara dan bertutur dalam bahasa Melayu lama. Apabila menyedari akan kedatangan panglima yang 'dipanggil', selaku ketua gelanggang, saya akan memulakan dengan memberi salam. Apabila salam telah dijawab, saya akan bertanya "siapa gerangan'. Sijinjang akan memberi tahu namanya seperti Jebat, Balong Hitam dsbnya. Ini perlu dilakukan kerana kadang-kadang orang yang 'dipanggil' tidak dapat 'datang'.
Pada kebiasaannya, panglima yang diseru ini akan berinteraksi dengan kami dan gemar mengajak kami untuk 'bermain' ( bersilat) dan ada juga yang akan hadir untuk menjadi guru dan mengajar silat. Guru 'ghaib' silat kami adalah Panglima Harimau Berantai. Katanya dia berasal dari Melaka dan berada dizaman selepas zaman Hang Tuah. Kami memanggilnya 'datuk'. Datuk panglima Harimau Berantai telah mengajar kami sejenis silat 'express' yang boleh tamat dalam 60 malam. Dalam proses perguruan, kami telah diajar dengan berbagai-bagai teknik persilatan dan pantang larang yang mesti kami lalui. Kami juga diajar bagaimana untuk 'bertempur' dengan mata ditutup, mandi minyak dan bertempur dengan menggunakan deria telinga, dll. Bagaimana pun saya telah tidak dapat menamatkan 'persilatan' saya kerana pada keesokan harinya saya mudah mengantuk terutama didalam kelas.
Jika terdapat lebih dari seorang yang boleh menjadi jinjang, kami akan memanggil dua atau tiga orang panglima. Kadang-kadang terdapat kedua-dua panglima ini mengenali satu sama lain seperti Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Jebat ini kalau 'dipanggil', dia akan menjerit-jerit dan meminta sesiapa diantara kami yang boleh 'memanggil' Hang Tuah. Katanya ia ingin membalas dendam atas kematiannya ditangan Hang Tuah. Hang Kasturi pula jika 'dipanggil', akan mudah sebak apabila ditanya tentang Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Lekir dan Hang Lekiu pula tidak begitu agresif macam Hang Jebat. Hang Tuah , jika 'dipanggil', lebih beperwatakan seperti orang tua. Selain dari itu, terdapat juga panglima-panglima yang boleh mengurut dan menenung. Selain dari bersilat, mereka juga suka bergurau dan bergelak ketawa.
Sesuatu yang agak menghairankan ialah 'mereka-mereka' yang 'dipanggil' ini tidak boleh didedahkan dengan cahaya yang terang seperti lampu atau api. Jika ini berlaku, mereka akan memalingkan muka mereka kearah lain. Mereka juga akan bergegas 'pulang' sebelum subuh menjelma.
Untuk menjadi jinjang bagi kali pertamanya, isim yang digunakan untuk 'memanggil' panglima-panglima adalah sepertti berikut:
1) Berwuduk
2) Membaca surah-surah ringkas tertentu ( surah Al-Quran)
3) Membaca : " Ya Allah, ya Tuhan ku, kau datangkanlah ....Datuk Panglima ( sebutkan nama panglima) akan daku dengan berkat syufaat Sheikh Abdul Kadir Jailani kerana aku dalam bala tentera Imam Mahadi.
Kemudian si Jinjang hendaklah berpusing dalam keadaan tertentu sehinggalah ia 'didatangi' oleh panglima yang dimaksudkan. Tidak semua orang berupaya untuk menjadi jinjang. Jika seseorang itu telah berjaya menjadi jinjang dan jika ia ingin 'memanggil' mana-mana panglima, jinjang tersebut hanya perlu berdiri tegak mengadap kiblat dan seterusnya berniat 'memanggil' sebarang panglima yang diinginkan.
Selepas saya meninggalkan bangku sekolah dan bertanyakan beberapa orang ustaz dan bijak pandai dalam hal-hal ugama Islam, saya mendapati perbuatan 'memanggil' atau 'menurun' panglima-panglima ini adalah perkara kurafat dan bertentangan dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik. Ia adalah satu perbuatan yang memuja jin ( jinjang adalah gabungan perkataan jin dan jang - orang Melaka kata awak - jadi jinjang adalah jin dan awak ). Semoga Alllah mengampun kami yang dulunya menganggap ia adalah sesuatu dari cabang ilmu persilatan Melayu yang perlu diperjuangkan.
P/S Kami diberitahu oleh 'panglima-panglima' ini , mereka adalah merupakan roh panglima dahulu kala yang telah kembali kebumi untuk mengajar silat kepada anak-anak muda bagi mempertahan ugama, keluarga dan tanah air kerana pada masa ini kononnya sudah tidak ramai orang yang ingin menurunkan seni persilatan kegenerasi yang seterusnya.

Wednesday, October 22, 2008

Kueh Melayu

Masa tu awal tahun 70an. Saya berada dalam tingkatan satu. Bapak saya telah ditukarkan ke Kuantan dari Kelantan. Pada satu hari, sedang saya merayau-raya di pasar ( ketika itu pasar Kuantan berada dekat masjid negeri berhadapan dengan perhentian bas di Jalan Besar - perhentian bas ini masih ujud lagi. Sekarang ini tempat tersebut telah tersegam sebuah kompleks beli-belah), saya terlihat kelibat dua orang gadis berbangsa Cina sedang membeli kueh-kueh Melayu dalam pasar tersebut. Saya perhatikan ramai pengunjung-pengunjung termasuk orang Melayu dan Cina memerhatikan dua orang gadis ini. Saya turut juga memperhatikan gelagat gadis-gadis ini. Ada beberapa orang diantara mereka yang berbisik sesama sendiri dan menunjuk-nunjukkan jari mereka kearah gadis-gadis ini. Pada masa tersebut, untuk melihat bangsa yang bukan Melayu membeli kueh-kueh Melayu adalah suatu yang luar biasa.
Hari ini, perkara yang sebegini sudah menjadi lumrah. Orang bukan Melayu sudah biasa makan nasi lemak, kueh Melayu direstoran-restoran Melayu. Kalau dahulu petai, jering, sambal belacan dan makanan-makanan pedas hanya digemari oleh orang-orang Melayu, kini tidak lagi. Orang India dulunya sangat pantang dengan belacan. Sekarang ini kalau makan nasi direstoran orang Melayu tak ada petai dan sambal belacan, mereka akan komplen. Kalau beli nasi lemak kat warung atau gerai dan sambalnya tak pedas mereka akan kata nasi lemak tu tak sedap. Kalau kat pasar malam, ramai bukan Melayu dah pandai beli petai, jering dan buah kerdas. Sebab tu petai dan jering dah jadi mahal, tak macam dulu cuma orang Melayu dan orang Asli sahaja yang minat dengan benda-benda ni.
Masa tu juga, boleh dikatakan ramai orang Melayu yang makan direstoran Cina. Kalau nak makan roti bakar ( yang dibakar menggunakan arang ) atau nak minum teh, kopi, ais kacang, restoren Cinalah yang akan jadi tumpuan. Masa tu restoran Melayu memang susah nak jumpa. Restoran pula macam restoran dalam filem Bujang Lapok arahan Tan Sri P. Ramlee, ada tempat duduk terbuka dan ada tempat duduk yang 'eksklusif', siap dengan tirai lagi.
Kalau orang Cina nak makan kueh Melayu, mereka kenalah beli kat restoran atau gerai orang Cina yang jual kueh Melayu. Saya teringat akan kawan bapak saya ( bapak saya seorang anggota polis) yang dikenali sebagai Ong. Saya dan kawan-kawan memanggilnya Pak Cik Ong. Pak Cik Ong ni kepalanya botak dan baik orangnya. Kadang-kadang kalau dia berjalan dibawah sinaran matahari, memang boleh nampak kesilauan kepalanya. Selepas pencen dia telah membuka gerai menjual kueh Melayu. Kueh ini telah disediakan oleh isterinya. Disebabkan pergaulannya dengan isteri-isteri polis yang kebanyakan orang Melayu, isteri Pak Cik Ong telah menjadi pakar dalam menyediakan kueh-kueh Melayu. Restorannya, yang terletak dekat Air Putih, Kuantan memang terkenal dan sangat maju.
Orang Melayu, sebaliknya, selepas pencen lari balik kampung atau buat rumah dikampung-kampung Melayu yang bersesuaian. Kalau nak berniaga , jangan mimpilah. Buat rumah pun hasil dari 'graduti' yang kerajaan bagi. Masa tu memang tak ada pinjaman perumahan macam yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan hari ini.
Sekarang ni istilah Melayu dalam berbagai katanama pun telah banyak ditiadakan. Dulu, masa tahun-tahun 80an, kad pengenalan ada tertera perkataan Negeri-negeri Tanah Melayu, Malaysia. Sekarang kad pengenalan baru dah tak ada lagi perkataan Tanah Melayu. Raja-raja Melayu pun dah jadi raja-raja, kadang-kadang disebut juga raja-raja Malaysia, itu pun tatkala nak umumkan tarikh anak bulan waktu nak dekat bulan Ramadan atau pengistiharan hari raya. Bahasa Melayu pula dah jadi Bahasa Malaysia. Keretapi Tanah Melayu, cuma tinggal nama singkatan nama sahaja iaitu KTM. Yang tinggal cuma baju Melayu dan orang Melayu sahaja. Itu pun tak tau bila boleh bertahan. Kueh Melayu pun dah jadi kueh sahaja. Sekarang ni pun dah ramai orang Melayu yang dah tak suka makan kueh Melayu. Perkataan 'kueh Melayu' juga dah ditukar menjadi 'kueh tradisional Melayu'. Ramai juga yang dah tak tahu macamana nak buat kueh orang-orang Melayu dulu kala seperti wajik, baulu dan dodol, tau makan saja. Itu pun main beli kat pasar raya bila dah dekat nak raya. Kata mereka kueh-kueh ni tak sedap macam kueh-kueh zaman sekarang. Ada juga yang kata ejaan 'kueh' itu sendiri pun dah tak sedap dan out dated, ejaan 'kuih' lagi lebih sedap.

Tuesday, October 21, 2008

Asal Usul Teh Tarik

Masa tu awal 60an, saya masih kecil dan belum bersekolah. Saya selalu mengikut arwah bapak saya menaiki basikal Releigh, Made In England ( apabila bersekolah saya dan kawan-kawan menyebutnya MA-DE (De macam bunyi Dekan) In Inglan- saya bersekolah Melayu) apabila bapak saya tidak bekerja. Bapak saya ketika itu seorang anggota polis yang bertugas di Bukit Aman sebagai seorang mata-mata. Bapak mengayuh basikal dan saya diletakkan diatas palang basikal dihadapan. Macam filem Bujang Lapok dimana Datuk Aziz Satar duduk dihadapan. Kadang-kadang saya duduk di"pelantar" ( tempat duduk ) belakang.Palang besi hadapan pula dibalut dengan kain buruk supaya apabila saya duduk saya akan berasa sedikit selesa. Kadang kala bila kaki saya terasa kebas, saya akan bergerak-gerak kesana sini mencari posisi yang lebih selesa. Setiap kali bapak saya mengayuh terdengar bunyi nafasnya yang agak kuat terutama ketika mendaki bukit kerana saya 'dikepong' oleh kedua tangan bapak saya dan saya berada ditengah-tengahnya. Kalau waktu tengah hari atau petang, sekali sekala terbau juga peluh dan bau dari ketiak bapak saya. Hendak menutup hidung takut pula dimarahi bapak saya. Jika jalan yang hendak didaki itu agak tinggi, bapak saya akan menolak basikal tersebut, bagaimana pun saya masih duduk terpaku dipalang basikal. Jika adik saya yang bongsu ingin ikut sama, bapak saya akan letak 'kerusi rotan' diatas palang dan adik saya akan diletakkan kedalam 'kerusi' tersebut. Kerusi ini akan diikat dengan tali guni ( ketika itu tali 'rapia' belum ujud lagi ). Masa tu kami tinggal diberek polis yang berdekatan dengan Zoo Negara. Sekarang tempat tersebut telah menjadi lebuh raya.

Bapak saya suka makan roti canai disatu gerai mamak berdekatan dengan Stadium Negara. Masa tu kalau nak order teh, kena sebut teh susu. Apabila teh dah diorder, siMamak akan membawa segelas teh yang diletak diatas piringnya sekali. Biasanya bapak saya akan tuangkan sedikit air teh kedalam piring dan dihulurkan kepada saya. Saya akan minum teh yang didalam piring dan bapak saya akan minum dalam gelas. Macam cerita Datuk Lat dalam komiknya "The Kampong Boy". Sebelum minum, saya akan meniup-niup teh tersebut supaya tidak berapa panas. Kita boleh juga order teh separuh gelas. Teh separuh ini pun harganya separuh juga. Sekarang ni kalau nak order teh separuh atau teh setengah, jangan haraplah. Teh susu , pada masa itu, harganya 20 sen. Biasanya bapak saya juga akan meminta roti canai dan roti ini akan diberikan kepada saya. Saya tak pasti berapa harga roti canai sekeping. Bapak saya hanya akan minum teh dan matanya akan memandang kesana sini dan sekali sekala memandang saya yang sedang makan roti. Bapak saya tidak merokok walau pun pada masa tersebut ramai kawan-kawan sebayanya yang menghisap rokok. Pada zaman tersebut, kalau teh susu yang telah diminta itu agak panas, siMamak tadi akan disuruh 'tarik' teh tersebut. Jadi tujuan asal menarik teh adalah untuk menyejukan sedikit teh yang hendak diminum. Lama kelamaan kes tarik menarik teh ini telah beralih arah, teh tarik telah menjadi jenama. Itulah asalnya teh tarik.