Kali ini saya akan ceritakan pengalaman saya mengenai silat"menurun" atau silat 'roh' ini , silat lihat post saya yg lalu mengenai Panglima Harimau Berantai, ( silat seru adalah agak berbeza sedikit dgn silat menurun/roh) dengan agak terperinci sedikit.
Sebelum proses 'memanggil' panglima ini dilakukan, saya dan kawan-kawan , antara jam 12.00 mlm keatas, akan berkumpul sama ada duduk bersila ala panglima atau berdiri dibelakang jinjang ( orang yang 'menurun' ). Jinjang akan mengadap kiblat dan membaca isim seperti yg saya terangkan sebelum ini. Jinjang akan memegang kedua belah tangannya ( tapak tangan kanan atas tapak tangan kiri ) dan berdiri dalam keadaan 'pasang kuda-kuda'. Kedua tapak tangan akan diletakkan didahi. Tidak lama kemudian, jinjang akan membuka langkah dgn pantas. Saya, selaku ketua gelanggang, akan memberi salam dan bertanya " Siapa gerangan Tuk?". Jinjang akan menjawab salam dan berkata "Harimau Berantai".
Kemudian Datuk Panglima Harimau Berantai akan membuat gelanggang 'imaginary'. Kami akan terus duduk dan berdiam diri. Dia akan membaca mentera dan mengelilingi padang, dimana diadakan tempat bersilat, dalam bentuk empat segi. Terdapat 3 jenis gelanggang ; gelanggang 'permanent' yang dindingnya dibuat dari kayu, zing dll ; gelanggang sementara yang di 'buat' oleh ketua gelanggang dan gelanggang yg 'dibuat' oleh "Tuk Panglima". Biasanya gelanggang yg 'dibuat' oleh ketua gelanggang adalah gelanggang yg 'telus' iaitu ketika bersilat Panglima yg dipanggil akan nampak apa-apa saja yg berada diluar gelanggang tetapi jika gelanggang yg 'dibuat' oleh Tuk Panglima, ia adalah gelanggang yg tidak telus bermakna ketika berlatih atau bersilat, Tuk Panglima atau mana-mana panglima yang dipanggil tidak akan nampak apa yg berlaku diluar 'gelanggang'.
Kemudian Tuk Panglima akan mengulang kaji 'buah-buah' yg lepas. Selepas itu, dia akan mengajar buah-buah yg baru. Kemudian dia akan uji setiap anak muridnya. Inilah masa yg sangat tidak disukai oleh saya dan kawan-kawan sebab Datuk Pang lima Harimau Berantai ini agak serius sedikit, kalau dia pukul , dia akan pukul betul-betul. Saya pernah kena tumbuk dan diterajang sampai tak boleh nak bangun. Ada diantara kami, bila terkena tumbukan akan pura-pura sakit dan Tuk Panglima akan suruh dia berehat. Jadi yang lain tu kena sabar je le. Kami juga disuruh 'bermain' diantara kami. Biasanya kami dah sepakat antara sendiri supaya 'jangan tumbuk betul-betul'.
Salah satu teknik yg diajar, yang saya rasa tak ada pada silat-silat lain - sebab sebelum ini saya ada juga belajar silat biasa tapi tak pernah tamat, ialah teknik tikaman atau tumbukan 'bersulit' , contohnya; jika menikam seseorang, kita akan menikam tepat kebadannya dan jika kita dapati dia mengelak kekiri atau kekanan, kita akan gunakan tikaman bersulit iaitu dengan menikam kekiri atau kekanan dan tidak lagi tepat kebadannya atau kita acah untuk menikam dan apabila dia mengelak baru ditikam tepat kedadanya. Silat Harimau Berantai ini adalah silat yang memerlukan kekuatan sendi kaki yang kuat kerana teknik silat ini ialah sesorang itu perlu 'berkuda' serendah yang boleh seperti seekor harimau, jadi musuh akan hanya boleh menyerang dari atas dan tidak dari bawah atau dari hadapan.
Satu lagi teknik yg saya dapati ialah jika diserang oleh 4 atau 5 orang. Saya ada melihat demonstrasi silat masa kini dimana apabila seseorang itu diserang, mereka menyerang seorang demi seorang macam cerita Bruce Lee, walhal jika seseorang itu diserang, kebiasaannya mereka akan menyerang dengan serentak. Dalam hal ini, kami diajar supaya sebelum mereka menyerang, kita yang mesti menyerang terlebih dahulu. Kita akan menyerang orang yg paling kanan atau kiri dengan 'mengalahkan' orang tersebut dan terus lari ketempat yang lapang. Kemudian jika diserang lagi, kita akan serang dahulu seorang lagi yg paling kiri atau kanan dan cuba 'mengalahkannya' dan begitulah seterusnya. Sebaik-baiknya kita berlari ketempat seperti dinding , pokok kayu dsb sebab sekurang-kurangnya tidak ada orang yg boleh menyerang dari belakang. Saya rasa teknik ini adalah lebih prktikal. Selain itu, kami juga diajar bersilat dalam keadaan berlutut, ini berlaku apabila seseorang itu sudah keletihan atau sebagai satu strategi dalam menewaskan musuh. Kami juga diajar untuk melemahkan musuh dengan sekali pukulan, juga beberapa pukulan dan tendangan maut.Kami juga mesti berpantang seperti tidak boleh lalu dibawah penyidai kain atau bawah rumah. Minum atau makan makanan orang bukan Islam tidak dibenarkan.
Selepas dari itu, Tuk Panglima akan minta untuk 'berperegian"( pulang). Kalau dia ada mood dia akan berehat dari bersilat dan kami akan duduk secara bersilang panglima menghadapnya dan akan bertanya mengenai zamannya seperti pakaian, minuman, rumah dll. Kalau Tuk Panglima kurang sedikit moodnya, beliau akan segera pulang. Kadang-kadang apabila ada 'emergency' ( ada orang digelanggang lain yang memerlukannya ), bila akan minta diri dengan tergesa-gesa. Kadang-kadang bila berlatih dan dahaga, kami akan minum air yang kami bawa dan kami 'offer' kepadanya tapi biasanya beliau akan berakata "Untuk apa kalian berikan air ini kepada aku, sudah tak berguna lagi".
Sebelum Tuk Panglima pergi , dia akan mengadap kerah kiblat dan membuat sedikit tarian silat dan akan jatuh meniarap keatas tanah. Salah seorang dari kami akan pergi kerahnya dan membaca selawat sambil mengurut tengguk jinjang tadi sebanyak 3 kali. Kemudian barulah sijinjang akan tersedar. Kalau ini tidak dillakukan, jinjang tadi tidak akan sedar sehinggalah kesubuh hari.
Terdapat beberapa panglima yang selalu kami panggil iaitu Gajah Purba, Sepintar Lidah, Balong Hitam dan Sang Sapurba. Gajah Purba berasal dari Melaka dan jika dia dipanggil dia akan bersilat dengan mengentakkan kakinya ketanah. Sepintar Lidah berasal dari Pulau Burung Bersinggah ( Pulau Pinang), Balong Hitam, saya tak berapa ingat dimana asal beliau, Tuk Gajah dari Inderapura ( Pahang ), Sang Sapurba berasal dari Jawa, dia kalau dipanggil akan bercakap Jawa kuno.Kawan saya tu, sijinjang, berasal dari Negeri Sembilan dan memang tak tahu Bahasa Jawa langsung. Sang Sapurba cuma tahu sedikit sahaja Bahasa Melayu. Dia selalu menasihatkan kami supaya bangga dengan bangsa kami ( Melayu ). Selain itu kami juga gemar memanggil Sheik Ahmad, beliau bukan panglima tetapi pandai mengurut. Saya pernah terseliuh ketika bermain ragbi, tapi tak pernah dapat mewakili sekolah, dan meminta Sheikh Ahmad untuk berurut. Urutannya memang menyakitkan tetapi selepas mengurut, kesakitan yg dialami akan 90% hilang.
Ada seorang lagi panglima, saya tak ingat namanya , beliau ini pula boleh "menenung" ( bukan tenung kain ) . Satu hari kawan saya ( bukan kawan sepersilatan tapi kawan seasrama ) telah kehilangan jam, lalu meminta beliau untuk menenung. Beliau telah mensyaratkan supaya membawa telur, limau nipis, pisau, mangkuk air dll ( tapi pulut kuning, ayam panggang macam dalam filem Melayu tidak pula diminta ). Jadi pada malam yang dijanjikan , panglima ini telah dipanggil untuk menenung dan semasa beliau sedang memegang telur, tiba-tiba dia terus berdiri dan menempik " Cis, kalian ingin mempermainkan aku, aku tidak berkesudian lagi, ayuh aku ingin berkepergian!", lalu beliau pun pulang. Kami semua tercengang-cengang. Kemudian kami dapati mengapa panglima ini marah ialah disebabkan telur yang dibawa oleh kawan saya adalah telur rebus! Yang diperlukan ialah telur mentah - tak boleh salahkan kawan saya juga kerana Tuk Panglima hanya minta telur . Beberapa hari kemudian, kami telah memanggil panglima ini kembali dan kami telah meminta maaf. Sebenarnya panglima ini agak baik karakturnya dan satelah menenung, beliau telah memberitahu dimana tempat jam itu boleh dijumpai. Tak lama kemudian kawan saya telah berjaya menjumpai jam tersebut tapi jam tu dah tak boleh digunakan lagi, dah rosak dan dah dimasuki air.
Saya juga ada membuka gelanggang di Kuantan, gelanggang di Perak dikenali sebagai Gelanggang Perantau, jadi sebelum pulang dari Perak ( saya tinggal diasrama ) , saya akan berpesan kepada panglima-panglima yang mungkin akan ke"Kuantan" ( nama gelenggang saya dah lupa ) untuk memberi tahu kawan2 saya yang saya akan pulang bercuti dan meminta mereka menunggu ditempat tertentu. Apabila saya pulang bercuti, kawan-kawan saya memang dah sedia menunggu ditempat yang saya maksudkan. Tak payah pakai telefon! ( zaman tersebut belum ada telefon bimbit). Apabila saya bertandang ke gelanggang dikampung saya dan apabila , jinjang ( kawan saya dikampung ) memanggil Panglima Harimau Berantai , beliau akan pasti mengenali saya. Dalam persilatan saya bergurukan Panglima Harimau Berantai, saya diberi nama Harimau Hitam atau SiPanjang ( tinggi saya 6 kaki dan paling tinggi diantara kawan-kawan saya seperguruan)
Kalau nak cerita memang banyak lagi seperti "kemasukan Tun Fatimah" kedalam jinjang lelaki, panglima terpaksa memakai spek mata hitam ketika nak pergi beli keris-keris lama yang dijual digerai yang menjual barang -barang lama, bila salah seorang dari kawan kami membaca quran dengan nyaring untuk 'menakut' panglima-panglima, panglima-panglima ini membantu untuk menghalau hantu ditempat-tempat yang keras dll.
Itulah pengalaman saya, sekarang saya tidak terbabit lagi dalam hal-hal seperti ini yang sebenarnya adalah merupakan perkara kurafat yang menyalahi ugama Islam. Alangkah bodohnya kami memanggil jin-jin ini dengan panggilan yang dihormati seperti Datuk dan kami pula membahasakan diri kami sebagai cucu. Sesungguhnya jin-jin ini adalah makhluk yang berakal seperti manusia dan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Wallahuwa'lam.