Saturday, February 21, 2009

Silat Ghaib/Silat Seru - Final Episod

.
Dalam mimpi tersebut, orang tua itu telah berkata dengan nada yang agak marah kepada saya, " Kalau pun cucu nak berzikir ke, berzanji ke, janganlah kuat-kuat sangat....... Habis anak cucu aku lari lintang pukang......" Kemudian orang tua itu pun hilang dengan serta merta.

Apabila saya terjaga, saya dapati hari sudah hampir pagi. Saya merasa hairan tentang apakah yang dimaksudkan oleh orang tua dalam mimpi tersebut. Akhirnya saya dapat menjangka yang orang tua tersebut mungkin syaitan kerana pada malam tersebut saya telah membaca ayat-ayat Al-Quran dengan suara yang kuat dari malam-malam yang sebelumnya. Mungkin dengan sebab itulah syaitan-syaitan atau jin-jin kafir bertempiaran lari apabila mendengar ayat-ayat suci Al-Quran dibaca dengan suara yang nyaring terutamanya didalam hutan. Sekali sekala apabila saya teringatkan mimpi tersebut, saya akan tersenyum keseorangan.

Setelah saya pulang dan bertemu dengan kawan-kawan seperguruan, saya telah menceritakan peristiwa yang telah berlaku pada malam terakhir saya dan juga tentang mimpi saya, mereka hanya sekadar ketawa dan menyatakan yang mereka sememangnya tidak terlibat langsung untuk cuba menakut-nakutkan saya pada malam itu.

Pada malam -malam yang berikutnya dan pada malam-malam tertentu, kami telah berlatih sesama sendiri untuk memahirkan persilatan kami. Disamping itu juga kami boleh memasang niat untuk mendapatkan bunga dan buah-buah silat dari seni persilatan yang ada seperti seperti Silat Sending, Silat Gayong dan sebagainya. Bagaimana pun silat-silat ini tidaklah dapat diperolehi/dikuasai secara 100 peratus. Ia juga bergantung kepada individu itu sendiri.

Pernah pada satu ketika, semasa saya belajar di UiTm dan semasa saya sedang berlatih dengan kawan-kawan secara 'main-main', saya telah dicabar oleh seorang kawan yang berasal dari Sabah yang kurang percaya dengan persilatan ini dan telah meminta saya menunjukkan 'tendangan sulit' dari Silat Cimande ( Cemande ) yang berasal dari Tanah Jawa. Untuk membuktikannya, saya telah memusatkan fokus saya supaya dapat menunjukkan tendangan tersebut. Apabila saya telah berjaya menunjukkan tendangan tersebut dimana tendangannya merupakan satu lompatan yang tinggi sambil membuat pusingan kebelakang yang menyerupai tendangan Bruce Lee , kawan saya telah tidak berkata apa-apa dan telah membenarkan yang tendangan tersebut memang merupakan tendangan sulit dari silat yang dimaksudkan.

Sepanjang saya mengamalkan silat ini, saya tidak pernah menggunakannya untuk mempertahankan diri kerana saya tidak pula pernah terlibat dalam sebarang pergaduhan kecuali ketika bermain rugbi dalam satu pertandingan ragbi antara jabatan ( fakuiti ) di UiTM. Dalam permainan tersebut, telah berlaku kekasaran dimana saya telah cuba ditumbuk oleh salah seorang pemain dari pihak lawan. Saya , dengan secara sepontan, telah dapat mengelaknya dan saya terus melipat tangannya sambil merebahkan badannya ketanah tanpa mempelajari/mengetahui jenis lipatan ( jurus ) yang saya saya lakukan .

Bagaimana pun , persilatan ini telah saya 'buang' dan saya telah tidak mempraktikkannya ( mengamalkannya ) kerana saya percaya persilatan ini tidak sesuai dan bertentangan dengan tuntutan Islam terutamanya mengenai buah-buah silat atau jurus-jurus silat yang "datang" tanpa kita mempelajarinya terlebih dahulu. Saya percaya jurus-jurus dan buah-buah silat yang diperolehi itu telah dapat dilakukan dengan pertolongan jin atau makhluk halus yang mungkin telah mengawal diri seseorang pesilat itu melalui puasa dan zikir-zikir yang diamalkan sebelum memperolehi persilatan ini.

Semoga Allah mengampuni dosa-doasa saya.
.

Thursday, February 5, 2009

Silat Ghaib / Silat Seru

.
Selain dari silat menurun ( sila lihat post-post saya yang lalu ), saya juga pernah belajar silat ghaib atau ada yang menamakan silat seru. Silat ini adalah merupakan sejenis seni mempertahankan diri yang diamal dengan membaca isim-isim dan zikir serta menjalankan amalan tertentu. Selepas amalan isim-isim dan zikir ini dilakukan, seseorang itu boleh bersilat dengan secara sendiri tanpa perlu mempelajari seni silat itu terlebih dahulu.

Saya memperolehi silat seru ini dari seorang guru silat yang bertugas, ketika itu, sebagai seorang kerani di Jabatan Pendidikan disebuah negeri di Pantai Timur. Dengan sedikit 'pengeras', saya telah diberikan beberapa salinan ( saiklostail ) kertas yang mempunyai beberapa isim dan zikir-zikir tertentu yang perlu saya amalkan dan sebotol air. Air ini 'mesti' diminum jika berlaku 'kepanasan' ketika isim-isim dan zikir-zikir ini sedang diamalkan. Ini bertujuan untuk menyejukkan kembali keadaan kepanasan seseorang itu. Saya juga diperlukan untuk berpuasa selama 3 hari dan mesti membuka puasa dengan makanan yang tidak mempunyai daging. Saya juga diperlukan untuk menjalankan amalan isim ini ( juga berpuasa ) disebuah tempat yang agak tersembunyi secara seorang diri. Saya juga dinasihatkan supaya tidak menghiraukan sebarang bentuk 'dugaan' atau 'cubaan' yang mungkin akan berlaku terutamanya diwaktu malam.

Dengan pertolongan seorang kawan seperguruan, saya telah mengenal pasti sebuah tempat yang sesuai untuk saya menjalankan aktiviti 'amalan' saya. Tempat tersebut adalah merupakan sebuah kebun durian yang mana terdapat sebuah pondok didalamnya. Sebuah perigi cetek juga terdapat disini. Pondok ini disediakan dengan dapur, pangkin kayu ( tempat tidur ) dan beberapa peralatan yang digunakan untuk tujuan perkebunan.

Pada hari yang telah ditetapkan, saya telah membawa beberapa barangan dan peralatan seperti pinggan mangkuk, air botol, pakaian, kelambu ( termasuk ubat nyamuk ) dan makanan yang tidak mempunyai daging termasuk maggi mee, beras dan barangan lain yang berkaitan dengannya. Saya pergi ketempat tersebut seorang diri dengan menaiki sebuah basikal. Disebabkan keinginan saya yang begitu mendalam untuk mendapatkan seni silat ini, saya telah bertekad untuk mengharungi segala rintangan yang bakal berlaku tanpa sebarang keraguan.

Saya tiba dipondok tersebut pada sebelah petang dan hampir waktu senja. Setelah membersihkan pondok tersebut untuk beberapa ketika dan setelah bersolat maghrib, saya terus menjalankan amalan saya secara duduk bersila dengan membaca isim-isim dan zikir-zikir yang telah diberikan oleh guru saya. Sesekali apabila saya terasa agak ' kepanasan' , saya akan minum air botol yang dibekalkan oleh guru saya untuk menyejukkan diri saya. Saya telah diperingatkan supaya air ini tidak dilangkahi kerana jika pantang ini dilanggar, air tersebut tidak akan menjadi mujarab dan mungkin akan meninggalkan kesan yang negatif kepada pengamal isim tersebut. Ditemani oleh lampu pelita dan kesunyian malam, saya terus mengamalkan isim-isim ini hingga kelarut malam. Sesekali hati saya menjadi agak kecut juga. Dalam keadaan yang sebegitu, saya teringatkan cerita P. Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok dimana P. Ramlee telah diduga dengan kehadiran Hantu Jepun ketika beliau sedang beramal disebuah kubur lama. Hati saya menjadi bertambah kecut terutama apabila hampir tengah malam.Pada malam pertama, selepas jam 12 malam ( saya disyaratkan untuk berhenti dari beramal selepas jam 12 malam ) saya terus terlelap dengan cepatnya setelah saya masuk kedalam kelambu.

Saya bersahur apabila waktu hampir subuh dan sementara menanti solat subuh, saya meneruskan zikir saya. Selepas solat subuh, saya meneruskan zikir saya tanpa berhenti kecuali untuk makan, minum, mandi, memasak, mencuci, bersolat dan sebagainya. Apabila sampai waktu berbuka puasa, saya akan membuka secara ala kadar dan meneruskan zikir saya. Disebabkan terlampau banyak sangat berzikir, kepala saya berasa begitu panas, kadang-kadang saya rasa seperti untuk pulang kerumah dan tidak meneruskan niat saya untuk memperolehi persilatan ini . Pada malamnya, walau pun hati kecil saya agak berdebar-debar juga kerana 'takut' untuk menempuhi 'dugaan' yang mungkin akan datang , saya meneruskan juga amalan zikir saya. Selepas jam 12 malam , saya terus masuk tidur.

Pada hari kedua berpuasa dan berzikir tanpa henti , saya tidak merasakan apa-apa perubahan pada diri saya cuma setiap kali berzikir untuk beberapa ketika, saya akan merasakan kepala saya mudah menjadi panas dari kebiasaannya. Dan setiap kali itu juga saya akan minum air yang dibekalkan oleh guru saya. Apabila air dalam botol hampir kehabisan, saya akan menambahnya kembali dengan air biasa. Ini pesanan yang telah diberikan oleh guru saya supaya air yang dibekalkan tidak 'terputus'. Pada malamnya saya tidur dengan nyenyak sekali. Saya agak kehairanan juga kerana saya telah beberapa kali dipesan oleh guru dan kawan-kawan seperguruan yang saya mungkin akan 'diduga' ketika menjalankan amalan untuk mendapatkan persilatan ini tetapi nampaknya setakat ini keadaan masih seperti biasa.

Pada hari ketiga berpuasa iaitu kira-kira selepas waktu asar ketika saya sedang berzikir dalam keadaan bersila, tiba-tiba saya dapat merasakan yang tangan kanan saya mula bergerak secara perlahan-lahan diikuti tangan kiri saya seolah-olah sedang membuka 'bunga-bunga' silat. Kemudiannya saya terasa seperti didirikan dan seterusnya membuka langkah satu demi satu. Guru saya telah berpesan supaya mengikut langkah-langkah ini secara natural dan supaya tidak merasa bimbang kerana ini memberi maksud yang saya telah berjaya dalam misi saya untuk memperolehi seni persilatan ini. Saya seterusnya terus berlatih bersaorangan dengan membayangkan musuh yang ingin menyerang saya, contohnya saya akan membayangkan yang saya sedang diserang oleh seorang musuh dengan menggunakan sebilah parang dan musuh tersebut ingin menetak saya. Apabila serangan dilakukan, saya secara automatik akan mengelak dan seterusnya akan mematahkan serangan tersebut dengan melakukan beberapa 'buah' pukulan dari silat yang perolehi. Saya kemudiannya telah menjadi agak teruja serta bersemangat dimana saya terus menerus menjalankan 'latihan' saya sehingga larut malam. Saya juga sudah tidak diperlukan untuk berzikir lagi kerana misi untuk mendapatkan silat ini sudah tercapai.

Sedang saya bersemangat 'berlatih' dan ketika waktu hampir jam 12.00 malam, saya terdengar seperti ada seseorang sedang berjalan mengelilingi pondok saya. Saya mengagakkan yang perbuatan tersebut mungkin dilakukan oleh sahabat-sahabat seperguruan sebagai usaha untuk menakut-nakutkan saya. Saya kemudiannya terus menyuluh dengan lampu suluh disekeliling pondok , namun saya telah tidak dapat melihat apa-apa melainkan kegelapan dan kedengaran bunyi cengkerik malam bersahut-sahutan. Bagaimana pun bunyi seperti sesorang sedang berjalan telah tidak kedengaran lagi selepas itu. Disebabkan terlampau letih, tidak lama kemudiannya saya terus tertidur. Semasa saya tidur, saya telah bermimpi didatangi oleh seorang yang sangat tua yang kelihatannya seperti seorang petani ..........( sambung dilain kelapangan )