Wednesday, October 22, 2008

Kueh Melayu

Masa tu awal tahun 70an. Saya berada dalam tingkatan satu. Bapak saya telah ditukarkan ke Kuantan dari Kelantan. Pada satu hari, sedang saya merayau-raya di pasar ( ketika itu pasar Kuantan berada dekat masjid negeri berhadapan dengan perhentian bas di Jalan Besar - perhentian bas ini masih ujud lagi. Sekarang ini tempat tersebut telah tersegam sebuah kompleks beli-belah), saya terlihat kelibat dua orang gadis berbangsa Cina sedang membeli kueh-kueh Melayu dalam pasar tersebut. Saya perhatikan ramai pengunjung-pengunjung termasuk orang Melayu dan Cina memerhatikan dua orang gadis ini. Saya turut juga memperhatikan gelagat gadis-gadis ini. Ada beberapa orang diantara mereka yang berbisik sesama sendiri dan menunjuk-nunjukkan jari mereka kearah gadis-gadis ini. Pada masa tersebut, untuk melihat bangsa yang bukan Melayu membeli kueh-kueh Melayu adalah suatu yang luar biasa.
Hari ini, perkara yang sebegini sudah menjadi lumrah. Orang bukan Melayu sudah biasa makan nasi lemak, kueh Melayu direstoran-restoran Melayu. Kalau dahulu petai, jering, sambal belacan dan makanan-makanan pedas hanya digemari oleh orang-orang Melayu, kini tidak lagi. Orang India dulunya sangat pantang dengan belacan. Sekarang ini kalau makan nasi direstoran orang Melayu tak ada petai dan sambal belacan, mereka akan komplen. Kalau beli nasi lemak kat warung atau gerai dan sambalnya tak pedas mereka akan kata nasi lemak tu tak sedap. Kalau kat pasar malam, ramai bukan Melayu dah pandai beli petai, jering dan buah kerdas. Sebab tu petai dan jering dah jadi mahal, tak macam dulu cuma orang Melayu dan orang Asli sahaja yang minat dengan benda-benda ni.
Masa tu juga, boleh dikatakan ramai orang Melayu yang makan direstoran Cina. Kalau nak makan roti bakar ( yang dibakar menggunakan arang ) atau nak minum teh, kopi, ais kacang, restoren Cinalah yang akan jadi tumpuan. Masa tu restoran Melayu memang susah nak jumpa. Restoran pula macam restoran dalam filem Bujang Lapok arahan Tan Sri P. Ramlee, ada tempat duduk terbuka dan ada tempat duduk yang 'eksklusif', siap dengan tirai lagi.
Kalau orang Cina nak makan kueh Melayu, mereka kenalah beli kat restoran atau gerai orang Cina yang jual kueh Melayu. Saya teringat akan kawan bapak saya ( bapak saya seorang anggota polis) yang dikenali sebagai Ong. Saya dan kawan-kawan memanggilnya Pak Cik Ong. Pak Cik Ong ni kepalanya botak dan baik orangnya. Kadang-kadang kalau dia berjalan dibawah sinaran matahari, memang boleh nampak kesilauan kepalanya. Selepas pencen dia telah membuka gerai menjual kueh Melayu. Kueh ini telah disediakan oleh isterinya. Disebabkan pergaulannya dengan isteri-isteri polis yang kebanyakan orang Melayu, isteri Pak Cik Ong telah menjadi pakar dalam menyediakan kueh-kueh Melayu. Restorannya, yang terletak dekat Air Putih, Kuantan memang terkenal dan sangat maju.
Orang Melayu, sebaliknya, selepas pencen lari balik kampung atau buat rumah dikampung-kampung Melayu yang bersesuaian. Kalau nak berniaga , jangan mimpilah. Buat rumah pun hasil dari 'graduti' yang kerajaan bagi. Masa tu memang tak ada pinjaman perumahan macam yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan hari ini.
Sekarang ni istilah Melayu dalam berbagai katanama pun telah banyak ditiadakan. Dulu, masa tahun-tahun 80an, kad pengenalan ada tertera perkataan Negeri-negeri Tanah Melayu, Malaysia. Sekarang kad pengenalan baru dah tak ada lagi perkataan Tanah Melayu. Raja-raja Melayu pun dah jadi raja-raja, kadang-kadang disebut juga raja-raja Malaysia, itu pun tatkala nak umumkan tarikh anak bulan waktu nak dekat bulan Ramadan atau pengistiharan hari raya. Bahasa Melayu pula dah jadi Bahasa Malaysia. Keretapi Tanah Melayu, cuma tinggal nama singkatan nama sahaja iaitu KTM. Yang tinggal cuma baju Melayu dan orang Melayu sahaja. Itu pun tak tau bila boleh bertahan. Kueh Melayu pun dah jadi kueh sahaja. Sekarang ni pun dah ramai orang Melayu yang dah tak suka makan kueh Melayu. Perkataan 'kueh Melayu' juga dah ditukar menjadi 'kueh tradisional Melayu'. Ramai juga yang dah tak tahu macamana nak buat kueh orang-orang Melayu dulu kala seperti wajik, baulu dan dodol, tau makan saja. Itu pun main beli kat pasar raya bila dah dekat nak raya. Kata mereka kueh-kueh ni tak sedap macam kueh-kueh zaman sekarang. Ada juga yang kata ejaan 'kueh' itu sendiri pun dah tak sedap dan out dated, ejaan 'kuih' lagi lebih sedap.

No comments: