Sunday, January 11, 2009

Kisah Sedih Abang Mail


Beberapa minggu yang lepas, semasa saya sedang memandu dalam perjalanan saya ke Kota Baru, saya telah terdengar sebuah lagu Hindustan irama tahun 1950an yang dipancarkan oleh sebuah station radio tempatan. Saya bukanlah berminat sangat dengan filem atau lagu-lagu Hindustan. Cuma kadang-kadang ada juga lagu yang 'sedap' didengari yang menjadi minat saya. Lagu ini juga merupakan sedutan dari sebuah filem Hindustan klasik hitam putih. Saya pernah menyaksikan filem ini di tv pada satu masa yang lalu. Ia dilakonkan oleh Dev Anand. Secara tiba-tiba lagu ini mengingatkan saya akan seseorang dan juga satu kisah yang berlaku dikampung saya.

Kisah ini berlaku ketika saya bercuti sekolah di rumah datuk saya dalam tahun 60an. Masa itu saya masih kecil lagi. Ketika itu ada satu keramaian kenduri kahwin yang akan diadakan berdekatan dengan rumah datuk saya. Pada hari tersebut, datuk saya, sebagai seorang bekas ketua kampung, agak sibuk juga. Saya dapati ramai orang bertandang kerumah datuk saya membincangkan sesuatu yang tidak berapa saya fahami. Saya nampak ada lilitan wayar letrik yang disambung kerumah seorang jiran. Saya menjangkakan yang kenduri tersebut akan diadakan dirumah jiran saya. Saya juga difahamkan yang jiran saya itu adalah merupakan 'saudara jauh' saya. Pada waktu itu, ramai dikalangan orang kampung tidak mempunyai bekalan letrik. Ramai juga yang tidak mempunyai bekalan air paip. Bagaimana pun, bekalan air paip percuma boleh didapati dipili-pili yang didirikan oleh kerajaan untuk orang kampung. Masa kini, pili-pili tersebut telah tidak ada lagi.

Mempelai yang akan berkahwin adalah seorang jejaka gempal yang agak kacak juga. Saya memanggilnya abang Mail ( Ismail ). Abang Mail , jika bercakap, perlu bercakap dengan nada suara yang kuat dan kadang-kadang air liurnya tersembur keluar. Jika dia cuba bercakap perlahan, suaranya pasti akan tidak kedengaran. Ia juga seorang yang happy-go-lucky, suka bersiul dan bekerja sendiri sebagai seorang nelayan. Dia mempunyai sebuah basikal yang baru dibelinya. Boleh dikatakan setiap hari , dia akan membersihkan basikalnya. Dia juga mempunyai sebuah peti suara ( macam dalam Filem Anakku Sazali ) dan gemar memutarkan beberapa lagu yang popular ketika itu dan yang menjadi kegemarannya. Jika saya melalui dihalaman rumahnya dan jika saya terdengar beberapa lagu yang diputarnya, saya pasti yang abang Maillah yang memainkannya. Dia tinggal bersama ibunya dan , kalau tak silap saya, dengan seorang adik perempuan disebuah rumah yang agak usang juga. Dimasa itu, kebanyakan pemuda dikampung saya bekerja sebagai nelayan. Jika ada dikalangan pemuda yang bekerja sebagai askar atau polis, mereka boleh dikatakan hidup agak senang dari orang lain dan menjadi diantara golongan yang disegani.

Pada masa persandingan diadakan , saya lihat mempelai perempuan begitu masam sekali mukanya. Saya ada terdengar beberapa orang makcik bercerita yang mempelai perempuan telah dipaksa berkahwin dengan abang Mail. Bagaimana pun persandingan telah dapat dijalankan dengan sempurna dan diluar sana keadaan begitu meriah sekali .

Keesokan paginya, ada seseorang telah datang memanggil datuk saya. Tanpa banyak bicara, datuk saya terus memenggang tangan saya dan 'mengheret' saya menuju kerumah abang Mail. Saya tidak pula tahu mengapa datuk saya membawa saya bersama-sama dengannya. Saya terpaksa berlari-lari kecil mengikut jejak langkah datuk saya. Dirumah abang Mail, saya lihat beberapa orang kampung sedang berkumpul di dapur rumahnya. Rumah kampung yang beratapkan nipah nampak agak sesak sedikit. Kemudian saya terdengar suara seorang perempuan yang sedang menangis dan dengan suara yang nyaring telah memberi tahu datuk saya yang dia tidak suka dan tidak mahu berkahwin dengan abang Mail tetapi ia telah dipaksa. Saya tidak pasti siapa yang telah memaksanya, tapi saya menjangkakan mungkin paksaan itu datang dari keluarganya. Pada masa itu, perkahwinan diantara dua mempelai biasanya ditentukan oleh keluarga masing-masing. Kemudian telah berlaku beberapa dialog yang saya kurang jelas dan kurang mengerti ketika itu.

Selang beberapa hari kemudian, saya mendapat tahu abang Mail telah tidak beristeri lagi. Saya difahamkan ibu bapa isteri abang Mail telah datang mengambil isteri abang Mail. Sejak dari hari itu, saya lihat abang Mail tidak seceria dahulu. Dia agak muram. Basikalnya pun sudah tidak sebersih dan sekilat sebelumnya. Dia juga sudah lama tidak turun kelaut. Setiap kali saya melalui rumahnya, setiap itulah saya akan terdengar sebuah lagu Hindustan yang akan dimainkan berkali-kali. Lagu tersebut adalah lagu yang sama yang saya dengar semasa perjalanan saya keKota Baru.

Setiap kali saya pulang bercuti kerumah datuk saya, saya dapati abang Mail masih belum berkahwin. Saya dapati abang Mail tidak segempal dahulu. Dan setiap kali saya terdengar lagu nyanyian Dev Anand, sudah pasti saya akan teringatkan seseorang dan sudah pasti juga saya akan teringat kisah sedih abang Mail. Lagu ini, juga pernah dialih keBahasa Melayu, boleh didengar dengan melayari ;


Begitulah kisah abang Mail.

.

No comments: