Thursday, January 1, 2009

Kuda Kepang

Kejadian ini berlaku ketika saya sedang menuntut di UiTM pada awal tahun 80an. Kalau tak silap waktu itu saya berada ditahun dua. Semasa tu saya dah jadi 'senior' sedikit dan apabila saya bersembang dengan junior-junior saya, saya kerap juga bercerita perihal silat-silat dan ilmu-ilmu kebatinan yang pernah saya belajar termasuklah tentang silat menurun ( sila lihat post-post saya yang lepas ).

Pada satu malam lebih kurang jam 10.00 malam, ketika saya sedang berada didalam bilik saya, saya telah didatangi oleh beberapa orang junior dalam keadaan termengah-mengah. Mereka adalah merupakan pelajar-pelajar dari Sabah dan tinggal dibilik asrama ditingkat atas.Mereka memberitahu saya begini; Ketika mereka sedang bermain terup ( bukan berjudi ), salah seorang dari 'house mate' mereka telah mengambil 'seekor' kuda kepang, yang digunakan untuk tarian kuda kepang, dari dalam bilik setor yang berdekatan dan telah menggayakan beberapa tarian kuda kepang sambil ketawa riang. Saya tak berapa ingat namanya.Tiba-tiba sipenunggang kuda tadi telah mencampakkan kuda tersebut sambil menempik dalam beberapa perkataan yang tidak diketahui dan terus menuju kearah " dapur" dan mengambil sebilah pisau. Dia kelihatan seperti dalam kerasukan.

Melihatkan itu, mereka yang berada didalam bilik tersebut telah bertempiaran lari dan mereka telah datang kebilik saya untuk meminta pertolongan.Saya, pada mulanya agak keberatan juga dan merasa agak bimbang , tidak ada pilihan. Kalau saya lari , nanti apa pula kata mereka kerana saya selalu juga bercerita pasal silat, bertapa, tangkal dan lain-lain. Jadi, hendak tak hendak, saya terpaksa menghadapinya. Dengan tidak berlengah-lengah lagi, saya mengambil selimut ( selimut saya nipis sahaja ) dan mengikat perut saya dalam beberapa kali lilitan dan saya juga mengikat tangan kiri saya dengan dua helai kain pelikat. Tujuan saya ialah jika kawan saya yang kena rasuk itu cuba menikam, sekurang-kurangnya saya dapat menghadang diri saya dari mendapat luka.

Saya kemudiannya menuju ketingkat atas dimana peristiwa tadi berlaku. Saya lihat kawan-kawan saya yang lain mengikut saya. Kami menaiki tangga secara perlahan-lahan, keadaan ditangga agak kurang terang. Sesekali terasa macam adegan dalam filem Melayu kelasik.

Dari luar pintu, saya lihat yang kena rasuk sedang duduk dalam keadaan sebelah kakinya dilunjurkan kehadapan dan sebelah kaki lagi dibengkukkan dibawah punggungnya. Matanya memandang kearah satu sudut. Saya lihat tidak ada pisau atau benda-benda lain ditangannya. Saya telah memanggil namanya beberapa kali, namun tiada jawapan darinya. Saya kemudiannya memberi salam, juga tiada jawapan. Saya cuba menghampirinya dalam keadaan berhati-hati. Tiba-tiba saya terdengar suara yang garau darinya yang melarang saya mendekatinya.

Kali ini saya pasti yang kawan saya ini telah dirasuk oleh makluk halus dan saya juga tahu yang ia ingin berkemunikasi dengan saya. Mungkin ada terlanggar pantang larang, kata hati saya.
Saya bertanya apakah gerangan 'sidatuk' tersebut datang ( iaitu kenapa datuk merasuk kawan saya ). Dia kemudiannya, dalam keadaan seperti orang yang marah, memberi tahu saya kenapa kawan-kawan saya tidak menghormati ' kenderaan' mereka dan kenapa kawan-kawan saya ingin mempersendakannya dan jika ingin 'bermain' dengan 'kenderaan' mereka mengapa tidak meminta izin terlebih dahulu. Kemudian berlakulah lagi beberapa dialog yang saya tak berapa ingat.

Kali ini saya lihat bilik tersebut dah mula dikerumuni oleh pelajar-pelajar lain. Keadaan agak sunyi sepi. Saya akhirnya meminta maaf daripada datuk tersebut beberapa kali dan menyatakan yang ' anak cucu tak tahu bahasa'. Bagaimana pun sidatuk tadi tidak berkata apa-apa. Saya cuba untuk terus berkemunikasi tetapi tiada sebarang jawapan. Tidak lama kemudian , saya terlihat kawan saya , yang dirasuk tadi, tiba-tiba bertanya "Apahal ramai-ramai kat sini?". Saya menjawab, " Tak ada apa-apa . Yang kau tidor kat sini apa hal pulak, kalau ngantuk pergilah masuk dalam bilik". Kawan saya terus bangun dan menuju kebiliknya. Saya memberi tahu ' house mate'nya supaya tidak bimbang dan meminta mereka menyorok segala pisau atau barang-barang tajam yang lain dan jangan menceritakan peristiwa tersebut kepadanya. Saya kemudiannya pulang kebilik saya.

Didalam bilik, beberapa unsur negetif mula berligar dalam kepala saya. Bagaimana kalau yang kena rasuk itu tiba-tiba menyerang saya ? Atau kalau dia bersenjata dan cuba melukakan saya? Ada bermacam-macam lagi yang berligar di kepala otak saya. Selepas peristiwa tersebut, seingat saya, saya tak pernah lagi bercerita tentang silat, ilmu-ilmu batin atau yang sama dengannya! Beberapa 'ekor' kuda kepang, cemati dan lain-lain peralatan yang berkaitan, kami pulangkan kepada orang-orang yang berkenaan.

.

No comments: