Tuesday, October 21, 2008

Asal Usul Teh Tarik

Masa tu awal 60an, saya masih kecil dan belum bersekolah. Saya selalu mengikut arwah bapak saya menaiki basikal Releigh, Made In England ( apabila bersekolah saya dan kawan-kawan menyebutnya MA-DE (De macam bunyi Dekan) In Inglan- saya bersekolah Melayu) apabila bapak saya tidak bekerja. Bapak saya ketika itu seorang anggota polis yang bertugas di Bukit Aman sebagai seorang mata-mata. Bapak mengayuh basikal dan saya diletakkan diatas palang basikal dihadapan. Macam filem Bujang Lapok dimana Datuk Aziz Satar duduk dihadapan. Kadang-kadang saya duduk di"pelantar" ( tempat duduk ) belakang.Palang besi hadapan pula dibalut dengan kain buruk supaya apabila saya duduk saya akan berasa sedikit selesa. Kadang kala bila kaki saya terasa kebas, saya akan bergerak-gerak kesana sini mencari posisi yang lebih selesa. Setiap kali bapak saya mengayuh terdengar bunyi nafasnya yang agak kuat terutama ketika mendaki bukit kerana saya 'dikepong' oleh kedua tangan bapak saya dan saya berada ditengah-tengahnya. Kalau waktu tengah hari atau petang, sekali sekala terbau juga peluh dan bau dari ketiak bapak saya. Hendak menutup hidung takut pula dimarahi bapak saya. Jika jalan yang hendak didaki itu agak tinggi, bapak saya akan menolak basikal tersebut, bagaimana pun saya masih duduk terpaku dipalang basikal. Jika adik saya yang bongsu ingin ikut sama, bapak saya akan letak 'kerusi rotan' diatas palang dan adik saya akan diletakkan kedalam 'kerusi' tersebut. Kerusi ini akan diikat dengan tali guni ( ketika itu tali 'rapia' belum ujud lagi ). Masa tu kami tinggal diberek polis yang berdekatan dengan Zoo Negara. Sekarang tempat tersebut telah menjadi lebuh raya.

Bapak saya suka makan roti canai disatu gerai mamak berdekatan dengan Stadium Negara. Masa tu kalau nak order teh, kena sebut teh susu. Apabila teh dah diorder, siMamak akan membawa segelas teh yang diletak diatas piringnya sekali. Biasanya bapak saya akan tuangkan sedikit air teh kedalam piring dan dihulurkan kepada saya. Saya akan minum teh yang didalam piring dan bapak saya akan minum dalam gelas. Macam cerita Datuk Lat dalam komiknya "The Kampong Boy". Sebelum minum, saya akan meniup-niup teh tersebut supaya tidak berapa panas. Kita boleh juga order teh separuh gelas. Teh separuh ini pun harganya separuh juga. Sekarang ni kalau nak order teh separuh atau teh setengah, jangan haraplah. Teh susu , pada masa itu, harganya 20 sen. Biasanya bapak saya juga akan meminta roti canai dan roti ini akan diberikan kepada saya. Saya tak pasti berapa harga roti canai sekeping. Bapak saya hanya akan minum teh dan matanya akan memandang kesana sini dan sekali sekala memandang saya yang sedang makan roti. Bapak saya tidak merokok walau pun pada masa tersebut ramai kawan-kawan sebayanya yang menghisap rokok. Pada zaman tersebut, kalau teh susu yang telah diminta itu agak panas, siMamak tadi akan disuruh 'tarik' teh tersebut. Jadi tujuan asal menarik teh adalah untuk menyejukan sedikit teh yang hendak diminum. Lama kelamaan kes tarik menarik teh ini telah beralih arah, teh tarik telah menjadi jenama. Itulah asalnya teh tarik.

2 comments:

Pak Zawi said...

Pak Azmi,
Nostalgia masa kecil yang kebanyakan anak anak sezaman amat menghargainya. Masih ingat lagi saya juga share secawan teh dengan ayah.

Pak Azmi said...

Zawi,

Sekarang, kebanyakan kanak-kanak bila lahir sahaja, bapanya dah kenderaan sama ada motor atau kereta. Bila cerita hal-hal begini, mereka biasanya macam tak percaya