Thursday, December 11, 2008


Cuti sekolah telah bermula. Dari Ipoh saya akan menaiki keretapi keKuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur, saya akan menaiki lagi keretapi ke Mentakab. Pada masa itu, dipertengahan tahun 70an, kami pelajar-pelajar yang menuntut disebuah sekolah di Ipoh diberikan 'warrant' tiket keretapi untuk pulang kekampung masing-masing. Kami tidak ada pilihan melainkan terpaksa menaiki keretapi juga. Kalau diikutkan , menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Mentakab adalah lebih cepat dan tidak memenatkan.

Dari Ipoh, kami menaiki keretapi petang dan sampai di Kuala Lumpur hampir 6.00 ptg ( 6.30 ptg waktu masa kini). Dari Kuala Lumpur pula, kami akan menaiki keretapi ke Pantai Timur pada jam lebih kurang 10.00 malam - terdapat beberapa nama perkhidmatan keretapi seperti Sumpitan Emas dan Senandung Malam. Setibanya di Gemas, beberapa gerabak keretapi tersebut akan dipecahkan kepada 2 bahagian. Satu bahagian ke Tumpat dan satu bahagian lagi akan keSingapura. Kalau tersalah pilih gerabak, sesiapa yang hendak ke Pantai Timur mungkin akan pergi ke Singapura.

Saya sampai di Mentakab lebih kurang jam 7.00 pagi, kalau tertidur susahlah jadinya. Dari Mentakab, saya akan minum pagi dimana-mana gerai yang berdekatan sebelum menaiki bas ke Temerloh. Dari Temerloh, saya akan ke Maran dan dari Maran, saya akan ke Kuantan. Dari Kuantan pula, saya akan ke Kem Alor Akar ( bapa saya adalah seorang anggota polis).

Pada satu ketika, saya telah tidak mempunyai cukup wang untuk tambang ke Kuantan. Ketika itu saya berada di Maran. Saya cuma ada RM1.20 sahaja, manakala tambangnya ialah sebanyak RM2.10. Ini belum lagi termasuk tambang dari Kuantan ke Kem Alor Akar. Hari sudah hampir petang benar dan saya tiada pilihan selain dari terpaksa menaiki bas ke Kuantan.

Apabila berada diatas bas, saya memberitahu abang konduktor bas yang saya hanya mempunyai wang sebanyak RM1.20 dan ingin tahu hingga kemanakah saya boleh sampai dengan jumlah wang yang saya ada. Abang konduktor tersebut telah bertanya tentang distinasi sebenar saya dan saya memberitahunya tentang arah tuju saya. Kemudian, konduktor tersebut menyuruh saya duduk seketika. Tidak lama kemudain, lebih kurang 10 minit perjalanan, abang konduktor tersebut datang kepada saya dan memberitahu saya yang saya boleh turun di Kuantan dan menghulurkan tiket yang mempunyai tambang sebanyak RM1.20. Saya berasa cukup gembira sambil mengucapkan terima kasih beberapa kali kepadanya. Beliau hanya tersenyum dan terus menuju kehadapan bas.

Apabila saya sampai di Kuantan, saya telah mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke Kem Alor Akar yang jauhnya hampir 20 km. Saya sampai dirumah lebih kurang jam 10.00 malam. Ibu dan bapa saya agak kehairanan apabila mendapati saya tiba dirumah agak lewat dari kebiasaannya. Saya memberitahu mereka yang saya telah terlepas bas. Jika saya memberitahu duduk perkara yang sebenar, sudah tentu saya akan di'basuh' dengan secukupnya.

Ketika saya belajar diUiTm ( ITM) dan semasa cuti semester, ketika saya dalam bas, saya pernah terlihat kelibat abang konduktor tersebut yang sedang memandu teksi. Saya pasti yang beliau tidak lagi menjadi konduktor bas tetapi sebaliknya telah menjadi seorang pemandu teksi. Apabila saya mula bekerja, saya telah cuba mencari beliau di perkarangan medan teksi di Kuantan tetapi saya telah tidak dapat mengesannya. Kadang-kadang apabila saya keseorangan dan dalam lamunan, saya pasti akan teringat akan peristiwa ini dan kebaikannya menolong saya. Setiap kali saya pulang ke Kuantan, saya akan cuba untuk mencarinya. Mungkin beliau sendiri sudah tidak menyedari akan peristiwa ini tapi bagi saya tidak. Saya selalu akan teringat akan kebaikannya menolong saya. Jika saya dapat bertemunya, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepadanya.


.

No comments: