Tuesday, November 25, 2008

Tangkal Kebal


"Peristiwa" ini berlaku semasa saya masih bersekolah samada ditingkatan 6 atau tingkatan 6 rendah dipertengahan tahun 70an. Masa tu heboh kononnya akan berlaku peristiwa seperti peristiwa 13 Mei tahun 1969. Pada satu cuti penggal sekolah, saya bersama seorang kawan saya ( beliau kini merupakan seorang yang mempunyai Phd dalam bidang Actuary dan pernah bertugas sebagai pensyarah diUKM ) telah membawa saya balik kekampungnya di Kota Baru, Kelantan. Tujuannya ialah untuk membawa saya berjumpa dengan seorang guru silat bagi mendapatkan ‘tangkal kebal’. Kawan saya pula berminat dengan susuk. Saya tak berapa pasti dengan jenis susuk yang dikehendakinya


Pada keesokan harinya, selepas asar, kami pun menuju ke rumah guru silat tersebut.. Selepas memberi salam, kami dipersilakan naik kerumahnya. Kami kemudiannya memperkenalkan diri dan saya telah menyatakan hasrat saya. Bagaimana pun kawan saya telah bertukar fikiran, beliau membatalkan hasratnya untuk memakai susuk kerana beliau bimbang dengan pantang larang yang harus dilaluinya.


Guru silat tersebut telah memberi sedikit penerangan mengenai tangkal ini serta pantang larang yang harus saya lalui. Pantang larang ini termasuklah tidak boleh minum air nenas, air kelapa dan membawa tangkal ini kebilik air atau tandas.Beliau juga memberi semangat supaya bersiap sedia untuk menghadapi ‘peristiwa’ yang seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Beliau kemudiannya masuk kedalam sebuah bilik. Saya nampak, walau pun agak kurang jelas, bilik tersebut dipenuhi dengan keris, tombak dan berjenis senjata tajam yang lain. Saya juga dapat melihat beberapa kain kuning yang disusunatur dibeberapa tempat didalam bilik tersebut. Beliau kemudiannya membawa keluar segulung tikar mengkuang, colok India, tangkal dan sebilah pedang panjang. Hati saya mula berasa agak bimbang sedikit. Beliau menunjukkan kepada saya dan kawan saya pedang tersebut dan saya dapati pedang tersebut sememangnya sangat tajam.


Beliau kemudiannya menyalakan colok tersebut dan menyatakan yang beliau menggunakan colok itu sebagai alternatif kepada penggunaan bara sambil menjampi tangkal tersebut . Saya dapat mendengar nama saya disebut beberapa kali. Guru silat kemudiannya meminta supaya berbaring sambil diperhatikan oleh kawan saya, beliau kemudiannya masuk kedalam bilik untuk mengambil ketayap. Saya dapat melihat yang ketayapnya itu agak pelik dari ketayap yang biasa.


Guru silat seterusnya mengarahkan saya supaya membuka baju serta meniarap dan menyuruh saya memakai tangkal tersebut dipinggang dan meminta saya supaya yakin, saya tak berapa pasti apa yang dimaksukan dengan yakin, sama ada yakin dengan tangkal tersebut atau yakin dengan kekuasaan Allah, kerana guru silat tersebut akan ‘mengibas’ saya dengan pedangnya.


Hati saya berdebar-debar dan saya terus memusatkan keyakinan saya. Kemudian saya dengar bunyi pedang yang dilibas ( pukul) keatas belakang badan saya. Saya merasa sedikit kebas dan saya agak panik seketika kerana bimbang mungkin badan saya telah luka dan berdarah. Kemungkinan ini yang menyebabkan belakang badan saya menjadi kebas.Selepas beberapa kali dilibasnya pedang itu, beliau pun berhenti dan kawan saya memberi tahu yang badan saya ‘tak ada apa-apa’. Guru silat terus masuk kedalam bilik tadi dan kemudiannya keluar tanpa ketayap dikepalanya. Beliau menyatakan kepada saya yang saya mempunyai tahap keyakinan yang kuat. Beliau kemudiannya memberitahu saya tatacara untuk ‘menjaga’ dan mengasap tangkal tersebut. Tidak beberapa lama kemudiannya, kami memohon untuk meminta diri dan saya telah dikenakan sedikit ‘ pengerasnya’. Saya tak berapa ingat berapakah jumlah pengerasnya.


Bagaimana pun selepas beberapa ketika, saya mendapati tangkal tersebut tidak memberi menafaat dan saya juga difahamkan yang penggunaannya boleh membawa kepada syirik, saya kemudiannya telah membakarnya.



Selain itu, saya juga merasakan yang mungkin saya telah ‘ditipu’ oleh guru silat tersebut. Ini berdasarkan kepada kemungkinan beliau telah menukarkan pedang yang sememangnya tajam kepada pedang lain semasa beliau masuk kedalam bilik untuk mengambil ketayap yang pelik itu sebelum mengibas belakang badab saya. Selain itu, selepas dia ‘mengibas’ dengan pedang yang tak tajam, beliau terus masuk kedalam bilik kononnya untuk menyimpan kembali ketayap tersebut dan kemudiannya keluar kembali membawa pedang yang tajam tadi. Sesekali fikir macam silap mata pulak







No comments: