Monday, November 10, 2008

Bangsawan Melayu Terakhir

.
.
Kali ini bukan lagi mengenai hal-hal misteri atau mistik. Ketika itu, saya berada didarjah 4 atau 5. Obama, bakal Presiden Amerika, masa tu masih kecil benar. Bapak saya, seorang anggota polis, bertugas di sabuah daerah di Ulu Kelantan yang bernama Manik Urai. Balai polis masa tu berada betul-betul dihadapan stesen keretapi. Sekarang ini balai polis berada bersebelahan dengan stesen keretapi.
.
Pada masa tersebut, keseluruhan daerah Manik Urai tidak mempunyai bekalan api elektrik. Bagaimana pun bekalan air memang telah tersedia ada. Balai polis dan kedai-kedai kebanyakannya menggunakan lampu pam yang menggunakan minyak tanah. Kebanyakkan penduduk pula menggunakan lampu minyak tanah biasa. Lampu pam ni memang terang lebih kurang macam lampu neon. Pada jam 8.00 malam ( masa tu 8.30 malam) kedai-kedai dah mula nak ditutup.
.
Pengangkutan utama ialah keretapi ( masih menjadi pengangkutan utama pada hari ini ) dan pada setiap pagi diantara jam 8.00 hingga 9.00 pagi, keretapi dari Kuala Krai akan singgah distesen Manik Urai ini membawa barang-barang dagangan seperti ikan, beras, barang-barang dapur dan lain-lain. Ketika itu, stesen ini akan menjadi sibuk dan riuh rendah. Selainnya, penggunaan bot yang dipanggil 'kapal' juga digunakan kerana Manik Urai berada diantara Sungai Lebir dan jalan keretapi utama Pantai Timur. Penggunaan bot ini sudah tidak ujud lagi.
.
Di daerah ini ada sebuah panggung yang dibina dari papan. Disini segala jenis hiburan seperti wayang kulit dan wayang gambar diadakan. Bekalan elektrik dijana oleh generator.Pada suatu hari, saya melihat sekumpulan orang telah datang ke tempat kami. Mereka ini ialah kumpulan persembahan bangsawan. Kumpulan ini dijangka akan berada disini untuk selama lebih kurang seminggu.Saya dan kawan-kawan berasa sangat teruja. Pada malamnya, kami dapat mendengar bunyi musik yang dimainkan dari pancaragam kumpulan bangsawan ini dari berek polis. Musik ini agak nyaring dan dimainkan sebagai satu daya tarikan untuk menarik para pengunjung. Saya dan kawan-kawan akan segera bergegas apabila mendengar bunyi musik tersebut. Bayaran masuk, kalau tak silap, 30 sen untuk kanak-kanak dan 50 sen untuk orang dewasa.
.
Apabila saya tiba buat kali pertamanya, saya agak terperanjat melihat 'pancaragam' tersebut terdiri dari seorang pemain trompet dan seorang pemain drum sahaja. Kalau tak silap, boleh dikatakan tiap-taiap malam saya akan pergi menonton bangsawan ini. Cerita-cerita yang dipersembahkan ada berbagai-bagai seperti cerita-cerita purba, sandiwara ( drama moden ) dan cerita-cerita kayangan ( dewa dewi ). Salah satu cerita yang masih saya ingat ialah kisah Lembing Awang Pulang Ke Dayang. Walau pun jumlah rombongan bangsawan ini lebih kurang 10 orang, mereka masih berupaya untuk mengadakan persembahan yang baik. Selepas tamat persembahan , pertunjukan seperti silap mata atau 'pergelutan' dengan ular sawa akan diadakan. Saya dan kawan-kawan memang rasa cukup seronok. Lepas dari itu, saya tidak pernah lagi mendapat peluang untuk melihat persembahan bangsawan sehinggalah kehari ini. Semasa ditingkatan 5, semasa saya bersekolah asrama di Perak, saya telah mengadakan beberapa persembahan 'bangsawan' semasa Hari Guru dan pada malam-malam yang tertentu. Bila difikir-fikirkan balik, seni persembahan sebegini perlu dikembalikan balik sebagai warisan bangsa. Kini, seni persembahan bangsawan adalah merupakan spesis dinasor yang telah pupus, tetapi kepupusan ini boleh dihidupkan kembali jika ada kesedaran.
.

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum pak azmi..tolong add saya di facebook saya berminat dengan cerita pak azmi berkenaan manik urai tu...sebab bapa saya juga tinggal disana dulu..dan Allahyarhamah nenek saya juga meninggal dunia masa bersalinkan pakcik saya semasa tinggal di berek polis tu..cerita pak azmi lebih kurang hampir sama dengan suka duka keluarga polis di manik urai yang pernah di ceritakan bapa saya

- silatang bugis @ facebook