Monday, November 3, 2008

Jin Hitam



.
Masa tu saya ditahun akhir di UiTM ( dahulu dikenali sebagai ITM). Semasa belajar ditingkatan 6 di Perak sebelumnya, saya hanya mendapat 'statement' dan tidak 'full cert' dalam peperiksaan HSC . Jadi untuk menyambung pelajaran ke universiti hanya tinggal angan-angan sahaja. Di UiTM, saya mengambil kursus diploma yang menghendaki keputusan HSC. Nasib baik ketika itu, pelajar yang menduduki STP masih belum diterima lagi, kalau tidak tak merasalah nak belajar diUiTM. Kursus yang saya ikuti itu dijalankan di cawangan Jalan Othman, di PJ 'old town' bagaimana pun asrama saya di Jalan Klang Lama.

Peristiwa ini berlaku ketika peperiksaan tahun akhir saya baru sahaja selesai. Asrama yang saya diami sudah tak ramai yang tinggal, hanya ada beberapa 'kerat' sahaja yang belum balik. Tiba-tiba pelajar-pelajar yang telah tamat peperiksaan menjadi begitu berminat untuk berjudi. ( main terup).

Saya juga turut terlibat. Bagaimana pun saya telah mengalami kekalahan demi kekalahan. Pada malam terakhir, saya teringat akan seorang pak cik, yang saya kenali, yang telah memberikan kepada saya satu isim yang dikenali sebagai isim Jin Hitam. Katanya isim ini boleh digunakan untuk meminta pertolongan dari sejenis jin yang dikenali sebagai Jin Hitam dalam hal-hal yang ghaib seperti meminta jin itu menyakitkan seseorang, 'mengacau' dan merasuk.

Tanpa berfikir panjang, pada malamnya selepas isyak, sebelum perjudian itu diadakan, saya telah pergi kekawasan lapang dihadapan asrama. Dihujung kawasan lapang itu, ada sepohon pokok ceri yang rendang. Kawasan itu agak gelap dan memang jarang dilalui orang. Saya dengan berhati-hati telah mengeluarkan sebiji telur mentah, sebatang lilin, mancis ( atau lighter, saya dah tak berapa ingat) dan satu tin kosong. Saya kemudiannya mengorek tanah dibawah pohon tersebut dan memasukkan tin kedalam lubang tanah yang telah dikorek . Dengan perlahan-perlahan dan berhati-hati, saya letakkan telur kedalam tin. Kemudian saya nyalakan lilin dan saya letak dan lekatkan diatas telur tersebut. Saya telah disyaratkan untuk menjalankan 'upacara' ini sedekat yang boleh dengan tempat perjudian. Saya kemudiannya membacakan menteranya lebih kurang seperti berikut ;

" Hai Jin Hitam, jin......( lupa pulak kat sini)..aku tahu asal mu, asal mu.......( lupa )..Hai Jin Hitam, Supan Supin (namamu.)......( lupa )......

Kemudian saya sebutkan hasrat saya ( tak boleh disebut di dalam hati ) yang saya akan berjudi pada malam itu dikawasan yang berdekatan dan inginnya membantu saya supaya beroleh kemenangan. Sebelum beredar saya disyaratkan juga untuk menyebut peringatan yang lebih kurang begini ;

Hai Jin Hitam, ini ada sedikit habuan ( telur ) untuk mu. Jika ada anak cucu yang lalu disini dan terjumpa dengan habuan ini dan merosakkannya sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja , harap maafkan mereka kerana mereka tak tahu bahasa.

Saya telah difahamkan oleh yang empunya isim ini, jika peringatan ini tidak disebut atau terlupa untuk menyebutnya dan jika ada sesiapa yang menjumpai atau tersepak atau merosakkannya, orang tersebut mungkin akan di'kacau' dan jin tersebut akan menyatakan nama orang yang telah memberi habuan itu jika ia berjaya di'tangkap' oleh bomoh yang mahir.

Pada malam itu, saya telah menang besar. Saya juga pernah menggunakan 'iktiar' ini semasa saya 'sesak' ketika saya bertugas di Sarawak dan saya juga telah menang besar . Selepas dari itu, saya telah tidak pernah menggunakan khidmat Jin Hitam ini lagi. Saya juga telah diberitahu oleh yang empunya isim ini, jika kerap menggunakan perkhidmatan Jin Hitam ini, ia mungkin berminat untuk menjadikan pengamalnya sebagai 'bapa'nya. Kadang-kadang saya terfikir juga adakah kemenangan besar saya itu berlaku sebagai kebetulan atau bagaimana? Sekarang ini segala tulisan isim-isim yang saya ' belajar ' dahulu, telah saya bakar dan nyahbuang . Ai, ada yang berminat ke?
.

3 comments:

arsaili said...

salam..erkkk ...sarawak bertugas di mana? kuching?

Pak Azmi said...

Wa'alaikumussalam,

Bertugas di UiTM Kuching, masa tu UiTM menumpang di Maktab Perguruan Batu Lintang ditahun awal 80an. Kenal ke?

Unknown said...

saya berminat la pak azmi