Wednesday, November 12, 2008

Drama Minggu Ini

Peristiwa ini berlaku ketika saya bertugas di UTM Skudai pada awal 90an. Waktu itu isteri saya baru bertugas di Johor Bahru. Sebelumnya saya terpaksa berulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur saban minggu atau dua minggu sekali selama hampir 3 tahun . Saya tinggal di Taman Universiti yang berhampiran dengan kampus UTM.

Pada satu hari selepas maghrib, saya telah dipanggil oleh anak jiran saya yang tinggal lebih kurang 4 atau 5 pintu dari rumah saya untuk menolong beliau membawa adiknya ke hospital. Saya, dengan kelam kabut, terus bertukar pakaian dan menuju kerumahnya. Setibanya di rumah jiran tersebut saya lihat ramai orang telah berada disana dan keadaan agak kecuh sedikit. Saya lihat seorang remaja perempuan yang sedang terbaring melentang sedang dipangku oleh seorang jejaka diatas pahanya. Saya bertanyakan kepada jiran saya tentang apa yang telah berlaku. Beliau mengatakan, dengan suara yang nyaring, yang dia ingin membawa adik perempuanya kehospital dengan segera. Kemudian saya lihat adiknya, yang masih dipangku, dalam keadaan seperti sedang nazak, iaitu nafasnya putus-putus sambil mengucap dua kalimah syahadah. Saya agak panik seketika tetapi saya melihat abangnya begitu tenang sekali. Kemudian abangnya menarik saya sambil membisik kepada saya supaya tidak mudah panik kerana dia sudah biasa dengan keadaan begitu. Tujuan beliau memanggil saya ialah untuk menakutkan adik perempuannya supaya adiknya berasa takut untuk dibawa kehospital secara mengejut. Bagaimana pun saya masih kurang mengerti. Saya dimaklumkan yang adiknya mengidap sejenis penyakit. Saya tidak begitu pasti sakit apa tetapi kalau tak silap sakit yang agak kronik juga iaitu sakit buah pinggang. Sedang jiran saya berbisik untuk menyatakan sesuatu, saya lihat jejaka tersebut bangun dan cuba menghampiri kearah pintu.

Tiba-tiba adik perempuannya, yang kelihatan seperti nazak, menjadi cergas dan terus bangun dan meluru kearah jejaka tersebut dan sempat memegang buku lali dan berada dalam keadaan separuh meniarap sambil berkata, lebih kurang begini,"Bang, jangan tinggalkan saya bang, saya tak rela berpisah dengan abang. Walau apa pun yang terjadi, saya sanggup bersama abang. Jangan tinggalkan saya bang!". Saya melihat jejaka tersebut dalam keadaan sebak dan tidak berkata apa-apa.Orang ramai yang ada disekeliling tiba-tiba menjadi senyap. Saya terus berpaling kearah jiran saya lalu saya memberitahunya yang adiknya itu sebenarnya mempunyai masaalah peribadi. Dia nampaknya bersetuju dan memberitahu saya yang dia telah pernah beberapa kali bertanyakan apakah masaalah yang dihadapi oleh adiknya tetapi adiknya tidak mahu memberitahunya. Saya menyatakan yang adiknya mungkin mempunyai masaalah percintaan. Disebabkan saya telah mengetahui duduk perkara, saya segera meminta izin utk pulang kerana saya tidak berminat untuk melihat adegan yang seterusnya. Sampai dirumah saya menceritakan peristiwa tersebut kepada isteri saya. Kami sama-sama tersenyum.

Tidak beberapa lama kemudian, disatu pagi saya terlihat dua orang kekasih ini sedang menunggu bas dihadapan pasar dikawasan perumahan saya. Apabila menyedari tentang diri saya, kedua-duanya cuba beredar. Sehingga kini, apabila saya melihat drama dalam tv, atau sedang dalam lamunan, pasti saya akan teringatkan peristiwa tersebut. Kadang-kadang cerita-cerita yang disiarkan ditv boleh menjadi realiti atau manusiakah yang meniru tv?

.

No comments: